AMANAH IKHTIAR MALAYSIA PEJABAT WILAYAH PAHANG
NO.2, TINGKAT 1,JALAN DATO BAHAMAN 4,
PUSAT KOMERSIAL TEMERLOH,28000 TEMERLOH.PAHANG,TEL :092961434 FAX:092960165
Amanah Ikhtiar Malaysia..Membantu Keluarga Miskin Berikhtiar Menambah Rezeki
Kesempurnaan Kualiti Kecemerlangan Organisasi

Monday 25 March 2013

Pemburu Yang Baik Hati

Pada zaman dahulu, terdapat seorang pelayan raja bernama Nasiruddin yang begitu gemar sekali berburu. Pada suatu hari ketika dia sedang berburu, Nasiruddin ternampak seekor anak rusa yang cantik sekali.
“Anak rusa yang cantik itu bolehlah aku berikan kepada anakku. Mereka tentu sayang kepada anak rusa itu dan menjaganya dengan baik,” kata Nasiruddin dalam hati.
Nasiruddin menangkap anak rusa itu dibawanya pulang meninggalkan hutan tempat ia berburu itu. Apabila ibu rusa sedar bahawa anaknya telah ditangkap orang, dia merasa amat terkejut sekali. Oleh kerana amat sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkan anaknya kembali, ibu rusa itu mengekori Nasiruddin dari belakang.
Sementara itu, Nasiruddin yang asyik menunggang kudanya gembira memikirkan tentang anak yang baru ditangkapnya itu.
 
“Aku telah mendapat seekor anak rusa yang comel. Pasti anak-anakku sambut dengan gembira,” katanya dalam hati.
 
Tiba-tiba Nasiruddin sedar ada sesuatu yang mengekorinya, lalu dia menoleh ke belakang. Ibu rusa itu seolah-olah kelihatan sedih sekali. Ia seolah-olah berkata kepadanya, “Engkau telah menangkap anakku, hai pemburu. Hidup aku tidak ada ertinya lagi kalau kau tangkap anakku itu dari tanganku. Aku rela mati daripada hidup tanpa anak yang ku sayangi.”
Nasiruddin merasa kasihan melihat ibu rusa itu lalu melepaskan anak rusa dari pegangannya. Ibu rusa itu terus mendapatkan anaknya itu lalu menjilat-jilatnya, melompat-lompat kegirangan lalu lari semula ke dalam hutan. Sebelum menghilang, ibu rusa itu sempat menoleh ke belakang sebagai tanda mengucapkan terima kasih terhadap Nasiruddin.
 
Pada malam itu, Nasiruddin bermimpi bahawa Nabi Muhammad datang menemuinya.
“Hai Nasiruddin,” Nabi berkata. “Allah telah meletakkan namamu dalam senarai Raja dan engkau akan menjadi Raja,” Nabi memberitahunya.
“Jagalah kerajaanmu itu. Kerajaan ini juga menjadi satu ujian kepada engkau. Sebagaimana engkau memperlihatkan belas kasihanmu kepada ibu rusa maka engkau hendaklah juga berlaku ihsan dan baik terhadap sekalian manusia yang menjadi rakyatmu itu. Ingatlah Nasiruddin, jangan sekali engkau abaikan tanggungjawabmu terhadap rakyatmu,” kata Nabi lagi.
Mimpi Nasiruddin itu menjadi kenyataan. Dia akhirnya menjadi Raja Ghazi, satu wilayah di Afghanistan sekarang.

Wednesday 27 February 2013

TINGGINYA SIFAT KASIHSAYANG RASULULLAH

sumber dari http://kisahteladan.info/rasulullah/sifat-kasih-sayang

 

Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.

 
1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.
2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.
3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”
4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan itu…”
5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”
6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.
7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”
8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.
9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.
10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?”
Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”
Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”
Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).
11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.
12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.
13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya, “Mengapa engkau menangis?” Kanak-kanak tersebut menjawab, “Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari raya.” Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: “Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?” Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.
14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. “Kenapa kamu masih menangis?” tanya Rasulullah SAW. “Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar,” jawab budak itu.
Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya, “Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?” Wanita-wanita itu menjawab, “Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali…”
Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, ” Tidak, ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini.” Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
15. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.
16. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: “Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya).”
17. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.
18. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka.” Rasulullah berkata, “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar).”
29. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya, “Mengapa kamu berbuat demikian?” Abu Zar menjawab, beliau mendengar Rasulullah berkata: “Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah mereka.”
INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW, model agung kecintaan yang paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman. Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam.

Thursday 8 December 2011

KURSUS MEREKOD KEWANGAN PERNIAGAAN KECIL CAWANGAN TEMERLOH

Disediakan oleh : Cik Noor Hidayah Pegawai Eksekutif (UPU)
GALERI GAMBAR


Kursus Merekod Kewangan Perniagaan Kecil untuk sahabat AIM cawangan Temerloh telah diadakan pada 24 November 2011(Khamis). Tujuan kursus ini diadakan untuk mendedahkan sahabat mengenai pengetahuan dan kefahaman sahabat berkaitan asas simpan kira. Kursus ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.


OBJEKTIF PROGRAM
  • Menambahkan pengetahuan dan kefahaman sahabat berkaitan asas simpan kira.
  • Memberi motivasi dan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan sahabat yang baru menyertai bidang keusahawanan.
  • Mendidik sahabat untuk menjalankan perniagaan mengikut peraturan dan etika yang sebenar agar perniagaan boleh kekal dan maju.


Kursus ini telah dihadiri oleh 26 orang sahabat yang telah dipilih oleh pihak cawangan. Sasaran awal peserta adalah seramai 30 orang sahabat di mana 4 orang sahabat tidak dapat hadir kerana mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan. Kriteria-kriteria peserta yang dipilih adalah sahabat-sahabat yang membuat pembiayaan ekonomi RM10,000 ke atas, keutamaan kepada sahabat usahawan NKRA, sahabat yang menjalankan projek berasaskan perniagaan, tidak dibenarkan membawa anak kecil, peserta boleh membaca, menulis dan mengira dan menyertaan sahabat adalah percuma.
Program ini berjalan seperti yang dirancangkan. Diharapkan pengetahuan yang disampaikan dapat dimanfaatkan oleh sahabat dalam usaha membantu meningkatkan kualiti hidup mereka serta pendapatan sahabat. Selain itu, segala maklumat dan panduan yang disampaikan diharap dapat diaplikasikan dalam perniagaan atau projek mereka. Kursus ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Tuesday 6 December 2011

HARI INI SEBELUM KITA..............

DISEDIKAN OLEH : NORAZREN BT JALALUDIN (Pen.Pegawai Akaun)


Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Wednesday 23 November 2011

PROGRAM KURSUS MEREKOD KEWANGAN PERNIAGAAN KECIL AIM CAWANGAN MARAN, PAHANG

Disediakan oleh : Cik Noor Hidayah Pegawai Eksekutif (UPU)
GALERI GAMBAR

Program Sistem Merekod Kewangan merupakan program yang dianjurkan oleh pihak UPU bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan akaun perniagaan. Ini bagi melahirkan usahawan yang lebih mantap serta sistematik dalam urusniaga perniagaan. Sistem Merekod kewangan secara lansung memberi petunjuk kepada tahap pencapaian perniagaan. Para peserta dapat memajukan perniagaan berlandaskan halatujuke arah usahawan yang berjaya.

Program ini telah dihadiri oleh sahabat dari Cawangan Maran seramai 29 orang. Peserta bagi program ini merupakan mereka yang mempunyai pengalaman 2 tahun dan ke atas di dalam bidang perniagaan. Program diadakan di Dewan Mesyuarat Bangunan Persekutuan Daerah Temerloh pada 28 Oktober yang lalu. Agenda program telah bermula dari pukul 8.00 pagi dan berakhir pada puluk 5.00 petang.


Sahabat telah didedahkan dengan kandungan kursus yang melibatkan teori dan juga praktikal dalam mencatat lejer perniagaan. Tenaga pengajar terdiri daripada Peg.Eksekutif UPU dan juga Pegawai Rancangan Wilayah Pahang. Pengurus Cawangan juga telah turut serta di akhir program dimana, sesi soal jawab ringkas yang diisukan oleh sahabat. Antara isu yang dibangkitkan ialah berkenaan dengan jumlah pinjaman besar dan tempoh bayar balik yang lebih panjang.
Sepanjang program, beberapa permainan simulasi minda dan kuiz turut diadakan . Program telah berjaya menarik minat dan pendedahan kepada para peserta berkenaan kepentingan sistem merekod kewangan. Ini dapat dilihat melalui pencapaian keseluruhan iaitu 89.96% serta komen-komen para peserta yang inginkan kursus lanjutan dan terperinci berkenaan pengurusan kewangan.

Wednesday 16 November 2011

PROGRAM KURSUS MEREKOD KEWANGAN PERNIAGAAN KECIL AIM CAWANGAN BERA, PAHANG

Disediakan oleh : Cik Noor Hidayah Pegawai Eksekutif (UPU)
GALERI GAMBAR


BERA 28 Okt 2011 - Program Sistem Merekod Kewangan merupakan program yang dianjurkan oleh pihak UPU bagi memberi pendedahan mengenai pengurusan akaun perniagaan. Ini bagi melahirkan usahawan yang lebih mantap serta sistematik dalam urusniaga perniagaan. Sistem Merekod kewangan secara lansung memberi petunjuk kepada tahap pencapaian perniagaan. Para peserta dapat memajukan perniagaan berlandaskan halatujuke arah usahawan yang berjaya. 

Program ini telah dihadiri oleh sahabat dari Cawangan Bera seramai 34 orang. Peserta bagi program ini merupakan mereka yang mempunyai pengalaman 2 tahun dan ke atas di dalam bidang perniagaan. Program diadakan di Dewan Umno Kerayong pada 27 oktober yang lalu. Agenda program telah bermula dari pukul 8.00 pagi dan berakhir pada puluk 5.00 petang.
Sahabat telah didedahkan dengan kandungan kursus yang melibatkan teori dan juga praktikal dalam mencatat lejer perniagaan. Tenaga pengajar terdiri daripada Peg.Eksekutif UPU dan juga Peg.Rancangan Wilayah Pahang.

Sepanjang program, beberapa permainan simulasi minda dan kuiz turut diadakan . Program telah berjaya menarik minat dan pendedahan kepada para peserta berkenaan kepentingan sistem merekod kewangan. Ini dapat dilihat melalui pencapaian keseluruhan iaitu 94.71% serta komen-komen para peserta yang inginkan kursus lanjutan dan terperinci berkenaan pengurusan kewangan.

Wednesday 28 September 2011

Sambutan Aidilfitri Sahabat AIM Cawangan Jerantut

Pada 24hb September 2011, bertempat di Dewan Harmoni Sekolah Men. Keb. Padang Saujana, Jerantut telah berlangsung majlis gilang-gemilang yang julung-julung kalinya diadakan bagi sahabat AIM Jerantut.
Program ini telah dianjurkan oleh Lembaga Perwakilan Sahabat AIM Jerantut dengan kerjasama Pengurus Cawangan Cik Norbaizura Bt Mohamad dan kakitangan AIM Cawangan Jerantut. Seawal jam 9.00 pagi, dewan telah dipenuhi oleh para sahabat bersama-sama ahli keluarga masing-masing yang hadir untuk memeriahkan majlis tersebut. Majlis dimulakan dengan selawat secara beramai-ramai sementara menanti kedatangan Yang Berhormat Dato’Lau Lee Ahli Dewan Undangan Negeri Dun Damak untuk merasmikan program tersebut. Di kesempatan itu, majlis telah diserikan dengan upacara memotong pulut kuning bersempena dengan pembukaan cawangan Jerantut.
Upacara pemotongan pulut kuning telah dibuat oleh Pegawai Rancangan En. Shahfizan Hamdan disaksikan oleh Pengurus Cawangan dan ketua-ketua pusat serta sahabat-sahabat AIM Jerantut. Sambutan yang agak menggalakkan daripada sahabat-sahabat yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri tersebut. Ucapan pembukaan telah dibuat oleh Puan Faridah Ibrahim selaku Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat AIM Jerantut.
Majlis telah dirasmikan oleh YB. Dato’Lau Lee dengan pujian yang cukup menaikkan semangat sahabat-sahabat AIM khususnya yang berada di Daerah Jerantut. Harapan beliau supaya kaum-kaum ibu berusaha membantu para suami untuk meningkatkan taraf hidup keluarga melalui saluran pembiayaan yang diberikan oleh AIM dengan sebaik-baiknya. Majlis diceriakan dengan upacara cabutan nama bertuah dan persembahan kompang daripada anak-anak sahabat serta sahabat AIM sendiri. InsyaAllah, program sebegini akan dianjurkan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan dan ukhwah dikalangan sahabat-sahabat AIM.